Sunday 5 June 2011

MELAKAR SEJARAH ALAM

Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld mengambil sempena nama gabenor Inggeris Frederick Weld letaknya lebih kurang 15 km dari bandar Taiping. Port Weld merupakan pelabuhan yang berfungsi untuk menaik turun barangan dan bijih timah semasa zaman British memerinah Tanah Melayu. Lokasi dan bahan sejarah yang terdapat di sekitarnya menggerakkan Persatuan Pelukis dan Pencinta Seni Negeri Perak (PELUKIS Pk) untuk merancang satu ekspedisi untuk melakar khazanah hutan paya laut, perkampungan nelayan dan kehidupan penduduk sekitar. Pada awalnya Hamidon dan SD hanya merancang untuk mengadakan ‘outing’ di Kuala Sepetang bagi ahli sahaja, fb telah merubah perancangan ke skala lebih besar. Lalu jadilah program LAKAR SENI KUALA SEPETANG.

Pada 20 hingga 22 Mei impian telah terlaksana dengan program Lakar Seni Kuala Sepetang yang disertai oleh 20 pelukis yang terdiri daripada ahli PELUKIS Pk, pelukis SENIKA, Shaimy dan Hasnah wakil GAPs, SEHATI dan Siti Zainon Ismail serta Zaitun Ajmain dan Melor dari Kuala Lumpur.

20 Mei, petang itu Di Casa Persona ramai yang sudah tiba, kami duduk-duduk, sembang-sembang, rancang-rancang, menyusun hasrat untuk mengatur langkah. Petang itu, perjalanan ke Kuala Sepetang, singgah di rumah Pak Othman Hussain di Matang yang banyak menyingkap sejarah masa lalu, perjuangan untuk kemerdekaan. Berkenalan dengan kucing kesayangan Pak Othman bernama Sepuluh Setengah.

Hari semakin lewat petang ekspedisi diteruskan, tiba di Kuala Sepetang,  mengejar mentari yang hampir mencecah gigi air, imej yang bergerak dipermukaan air mengikut riak kocakan bot nelayan yang lalu. Mentari pun terbenam di ‘laut’ Kuala Sepetang.  Senja pun tiba, bergerak menyusur lorong pekan nelayan menjejak landasan keretapi pertama  Taiping – Port Weld. Namun yang ditemui hanyalah papan tanda ‘PORT WELD’ masih berdiri megah di suatu lorong, Ruang tiketnya telah dijadikan restoran. Entah sampai bila artifak itu akan terus berada di situ. Masa yang akan menentukannya.

21 Mei, hari kedua, meredah hutan paya laut di Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang, merakam dan melakar hidupan  pinggir sungai, hutan bakau dan kampong nelayan yang boleh dijadikan hal benda dalam karya. Perjalanan dengan bot dari Jeti Jabatan Perhutanan hingga ke muara di Kuala Sangga menyaksikan pohon-pohon bakau, ikan belacak, rumah nelayan dan kehidupan masyarakat pinggir sungai yang memberi kesan visual dan sumber inspirasi untuk di pindahkan pada kanvas.

Enak rasa mee udang di Gerai Mak Jah tengahari itu. Mengisi perut sebelum ke kilang arang. Melakar imej pekerja kilang arang yang memunggah bakau  berat dari bot. Kerja mengupas kulit bakau dengan upah tak seberapa memberi pangalaman empati dan rasa insaf dalam diri. Menyusur pula lorong sempit di kampong nelayan Sungai Batu, merakam bot nelayan yang berlabuh dan nelayan yang masih berada di jeti hingga lewat petang.

Chalet terapung di Kuala Sangga
Malam itu di Casa Persona, Salleh Ismail, Munif, Syed, Saparel dan beberapa pelukis lagi terus menyiapkan kerja hingga jam 2 pagi di pondok rehat. Ramai juga yang telah melelapkan mata. Pagi mesti bangun awal untuk ke Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang.

22 Mei, pagi itu, semua lakaran dipamerkan di Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang sementara menunggu Mesyuarat Agung PELUKIS Pk, pada jam 11 pagi. Ramai juga ahli yang baru tiba, Raja Shariman dan rakan-rakan. Ucapan penangguhan jam 1 tengahari.  Jamuan makan tengahari dengan kerang rebus, kari ikan terisi, ulam-ulaman dan sambal tempoyak menggamit semua supaya datang lagi.

Lakar Seni Kuala Sepetang telah memberi semangat dan inspirasi kepada pelukis  untuk merakam sejarah alam dengan pelbagai persepsi dan semoga dapat dipersembahkan kepada audian dalam suatu pameran nanti.




Lakaran Salleh Ismail

Munif: Pohon Bakau
Pameran
Roslaini

Dato' Mahsun: Belacak
Lakaran puisi Siti Zainon
Hamidon Ahmed
Raduan Norudin
Aminudin Sahaimie

Shaimy: Pemandu Bot



Salleh Ismail: Pak Othman












No comments:

Post a Comment