Tuesday 14 January 2020

LAKARAN LEMBAH LENGGONG: Menyusur Jejak Yang Hilang

Lembah Lenggong yang terletak di Hulu Perak telah dikenali diseluruh dunia selepas penemuan artifak pra sejarah di zaman batu paleolitik di Gua Gunung Runtuh. Artifak yang berupa satu rangka manusia yang masih tidak terjejas walaupun sudah tertanam sejak berjuta tahun yang lalu. Berdasarkan penemuan tersebut Persatuan Pelukis Perak (PPPk) telah membuat satu program lakar, lukis dan pamer yang di beri tema Perak Man Art Trail: Menyusur Jejak Yang Hilang. Program yang dilaksanakan di lokasi LembahLenggong, Royal Belum dan Kuala Kangsar merupakan satu aktiviti eksplorasi dan  melakar di sekitar tiga  lokasi tersebut. Lokasi pertama di Lembah Lenggong telah diadakan pada 16 hingga 18 Disember 2019 yang lalu (KLIK SINI) telah menghasilkan beberapa lakaran oleh pelukis-pelukis Perak. Antaranya seperti yang dipaparkan di bawah.

Saiful Azmi, Kampung Beng
Sukri Ibrahim, Kampung Beng

Amin Busu,

Salleh Ismail, Kampung Beng

Ismail Alias, Tasik Raban

Ismail Alias, Kampung Beng

Ismail Alias, Dataran Tasik Raban

Ismail Alias, Kampung Beng

Sukri Ibrahim, Tasik Raban

Saiful Azmi, Kampung Beng

Saiful Azmi, Tasik Raban

Saiful Azmi, Tasik Raban

Saiful Azmi
Amin Busu

Amin Busu, Kampung Durau


PERAK MAN ART TRAIL: Menyusur Jejak Yang Hilang - Lembah Lenggong


Hari ini Isnin 16 Disember 2019 sejak awal pagi saya sudah bersiap-siap untuk bergerak ke Tasik Raban yang jaraknya lebih kurang 70 km dari rumah di Tambun. Persiapan untuk tiga hari dua malam telah disediakan. Alat dan bahan untuk melukis seperti buku sketch, kertas cat air, berus, cat air dan peralatan lain telah tersedia dalam beg lukisan. Saya akan berada di Lembah Lenggong sehingga hari Rabu.  Selama berada disana saya dan rakan-rakan pelukis dari Persatuan Pelukis Perak (PPPk) akan membuat eksplorasi dan  mencari subjek dan membuat lakaran hal benda yang berkaitan dengan tema pameran Perak Man Art Trail yang mungkin akan di adakan  pada bulan Mac 2020. 

Sebelum ini, saya telah lebih tiga minggu membantu Cikgu Hirzuan, setiausaha PPPk, merangka perancangan untuk menjayakan program ini yang akan diadakan  di tiga lokasi iaitu Lembah Lenggong, Royal Belum dan Kuala Kangsar. Program ini telah mendapat perhatian Balai Seni Negara dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya. Bagi melancarkan aktiviti, Cikgu Amin Busu telah dilantik sebagai penyelaras program di Lembah Lenggong kerana beliau tinggal di Lenggong.

Lembah Lenggong dipilih sebagai lokasi pertama kerana rangka manusia yang tertua  zaman batu paleolitik yang dikenali sebagai Perak Man telah ditemui pada tahun 1991 di Gua Gunung Runtuh yang terletak di Bukit Kepala Gajah di Lembah Lenggong, Hulu Perak oleh pasukan eskavasi oleh Malaysian Archaeological Research Centre USM yang diketuai oleh Prof Dr.Zuraina Majid, dengan kerjasama Jabatan Muzium Negara.

Hari pertama pelukis-pelukis diberi masa setengah hari untuk melakar di Tasik Raban. Antara ahli PPPk yang dapat menyertai aktiviti kali ini  ialah Ismail Alias, Hamidon Ahmad, Salehudin (Pak Long), Sukri Ibrahim, Aidel Yusuf, Mohd. Yusuf Baki, Hirzuan Zulkiffli, Amin Busu, Amin Sahaine, Saiful Azmi dan Salleh Ismail. Pada tahun 2015 yang lalu program melakar Perak Man Art Trail edisi awal telah pun diadakan di sini selama sehari. Selepas itu persatuan berhasrat untuk merancang aktiviti di lokasi yang lebih luas.  Untuk melihat aktiviti yang telah dijalankan sila KLIK SINI.



Melakar sejarah alam di Tasik Raban



Pukul 12.30 tengahari semua peserta program bergerak ke Lenggong untuk makan tengahari di Kebebe Cafe bersebelahan Laman Budaya sebelum daftar masuk ke penginapan di Teratak Kapten Rosli dan homestay di Kampung Kota

Makan tengahari di Kebebe Cafe
Sebelah petangnya kesemua ahli yang menyertai Perak Man  Art Trail berkumpul di Kampung Pecah Batu untuk melawat dan mencari bahan di Gua Tok Giring sambil makan goring pisang panas yang dibeli oleh Cikgu Amin Busu.

Pintu gua

Mencari subjek yang menarik untuk dijadikan hal benda

Lokasi Gua Tok Giring
Hari kedua, seawal jam 8.00 pagi semuanya sudah bersedia untuk mencari sarapan dan memulakan perjalanan ke Kampung Beng yang terletak di pesisir Sungai Perak. Ahli-ahli berkumpul mengambil sarapan di gerai makan Kampung Kota dengan menikmati nasi lemak dan roti canai yang menyelerakan.

Bersarapan pagi di Kampung Kota
Selesai sarapan pelukis-pelukis bergerak  dengan lapan buah kereta menuju Kampung Beng melalui Kota Tampan dan jambatan Kampung Luat. Sebelum ada jambatan, penduduk Kampung Beng perlu menggunakan jalan air di Sungai Perak dan Tasik Raban untuk mendapatkan kenderaan darat di Kampung Kuak atau Kampung Raban. Pada awalnya jalanraya yang dilalui sangat selesa kerana lebar dan sesuai untuk berselisih tetapi bila sampai jalan memasuki Kampung Beng jalan agak sempit, berbukit dan berliku. Walau bagaimana pun bila sampai di Kampung Beng semua peserta sangat teruja melihat suasana kampung  yang masih utuh ciri-ciri warisan tradisional dan masyarakat kampung yang sangat peramah dan memberi kerjasama yang baik. Kenderaan diletak di kawasan SK Kampung Beng dan ahli PPPk mula mencari lokasi yang  sesuai dan menarik untuk mula melakar. Untuk melihat sebahagian daripada  lakaran boleh KLIK SINI


Jalan yang sempit dan berliku menuju ke Kampung Beng



Melakar di sekitar Masjid Kampung Beng




Tengahari itu langit semakin mendung, hujan mungkin turun sebentar lagi. Aturcara yang dirancang ialah menyusur pesisir Sungai Perak untuk melihat keindahan Kampung Beng, Kampung Durau dan Kampung Batun Reng dengan menaiki bot yang sudah ditempah. Bimbang hujan akan turun program ini perlu dipercepatkan. Kesemua peserta dapat juga melihat pemandangan kampung-kampung sekitar dari Sungai perak dengan menaiki dua buah bot yang mengambil masa satu jam perjalanan.  Sebenarnya apa yang dilihat dari air adalah lebih menarik. Tempat ini juga telah dijadikkan lokasi penggambaran iklan Hari Raya Petronas suatu masa dalahulu. Dalam iklan tersebut beberapa orang kanak-kanak membawa lembu  menaiki rakit untuk menunaikan pesanan ibu mereka.. Langit semakin cerah hujan tidak turun menjadikan perjalanan lebih selesa hingga sampai ke pengkalan.

Tiba di jeti menu jamuan tengahari telah tersedia di masjid. Kami menikmati makan tengahari di masjid Kampung Beng yang disediakan oleh penduduk disitu. Hidangan ikan tilapia bakar, ikan pekasam, ulam-ulaman dan lain- lain yang menyelerakan. Selepas solat kami bertolak balik ke Lenggong.

Bersiap untuk eksplorasi pesisir Sungai Perak


Kampung Durau




Aktiviti malam ditempat penginapan dipenuhi dengan sembang seni dan menyiapkan lakaran serta merancang apa2 aktiviti yang boleh dilakukan pada esuk hari.

Aktiviti  malam: Sembang seni dan menyiapkan lakaran

Pada hari Rabu hari terakhir di Lembah Lenggong masing-masing mencari sarapan mengikut citarasa dan meneruskan aktiviti mengambil gambar dan melakar disekitar pekan Lenggong sebelum bertolak balik ke tempat masing-masing. Program kedua Royal Belum akan bermula pada minggu seterusna dan Kuala Kangsar pada bulan Januari 2020.