Dalam perjalanan, kami membayangkan tumbuhan yang menghijau, air sungai yang sejuk dan jernih, batu batan yang mencecah gigi air, malam yang dingin, haiwan-haiwan liar yang mungkin ditemui dan penempatan Orang Asli yang mungkin dapat menjadi hal benda (subject matter) dan sumber idea untuk diabadikan pada kanvas.
Setelah melalui perjalanan yang sukar dan memang mencabar tetapi sangat menyeronokkan, semua peserta ekspedisi telah selamat tiba Rumah Pelawat Kampung Peta pada jam 1.30 tengahari dan ditempatkan di asrama Kompleks Pelawat sebelum memulakan aktiviti hari ini. Selesai makan tengahari kami membuat lakaran disekitar Kompleks Pelawat yang banyak terdapat hal benda yang boleh dijadikan sumber idea. .
Selepas makan malam kami berkumpul di Dewan Serbaguna, Kompleks Pelawat untuk diberi gambaran tentang Taman Negara Endau Rompin Peta oleh pihak Perbadanan Taman Negara Johor. Pada malan itu kami telah dapat melelapkan mata buat pertama kalinya di hutan hujan tropika Endau Rompin Peta yang sunyi dan nyaman.
Peta beberapa orang pelukis telah bergerak ke Pantai Burung yang mengambil masa 30 minit dengan berjalan kaki. Pantai Burung merupakan lokasi yang menarik untuk beristirehat dan bermandi Dari Kampung -manda. Pemandangan yang menarik di sini dapat memberi sumber idea kepada pelukis. Satu demi satu lakaran telah dapat disiapkan. Perut terasa lapar, matahari semakin meninggi. Bila matahari berada di atas kepala, semua peserta yang berada di Pantai Burung mula bergerak mendaki bukit untuk ke Kompleks Pelawat. Kenderaan pacuan 4 roda Jabatan Kebudayaan Negeri Johor membantu membawa peserta yang rata-ratanya sudah keletihan.
Selepas makan tengahari di Kompleks Pelawat, iaitu pada jam 2.30 petang kami bergerak ke Kampung Peta untuk menaiki bot yang akan membawa mereka ke Nature Education Research Centrre (NERC) yang terletak di sebelah hulu Sungai Endau. NERC ialah pusat penyelidikan yang mengandungi Dewan Pameran, asrama dan kemudahan-kemudahan lain. Perjalanan dengan bot ke NERC yang mengambil masa lebih kurang 45 minit telah melalui beberapa jeram yang memang banyak terdapat di Sungai Endau. Pukul 6.00 petang mula bertolak balik ke Kompleks Pelawat. Semua lakaran dikumpulkan dan dipamerkan di dalam Dewan Serbaguna.
Pukul 8.30 malam semua peserta telah berkumpul di Dewan Sebaguna, menunggu ketibaan YB Puan Asiah bt. Md. Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor untuk upacara perasmian. Ketibaan YB Pn. Asiah telah disambut oleh Pengerusi dan AJK GAP’s dan dibawa melawat pameran. YB sangat kagum dengan hasil karya ‘sehari’ yang dipamerkan itu. Turut hadir dalam Majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan Negeri Johor, Pengarah Taman Negara Johor, Wakil Ketua Polis Daerah Mersing dan Penghulu Mersing. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Pn. Asiah dan diikuti dengan bual bicara bersama YB Pn. Asiah dan Pengarah Taman Negara Johor.
Selepas mengambil sarapan pagi pada hari ketiga, semua peserta diminta berkumpul untuk memulakan perjalanan ke Kuala Jasin. En. Nazrul b. Mohd. Chulan, juru pandu menerangkan tentang keperluan yang perlu dibawa kerana sehari suntuk akan berada di Kuala Jasin. Kumpulan Gajah seramai tujuh orang membawa barang keperluan yang lebih banyak kerana mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Marung dan akan bermalam di Kuala Jasin.
Dari jeti Kampung Peta kami menaiki empat buah bot yang akan membawa mudik ke hulu melalui Sungai Endau ke Kuala Jasin. Jam 9.30 pagi bot mula bergerak dari jeti Kampung Peta menuju Kuala Jasin. Air Sungai Endau kelihatan lebih dalam dari hari semalam, arusnya lebih deras kerana hujan yang turun pada petang semalam. Pesisir Pantai Burung sudah tidak kelihatan lagi, dipenuhi air melimpah hingga ketebingnya. Dalam perjalanan peserta dapat merakamkan pelbagai tumbuhan, banir, akar kayu yang mencecah gigi air, batu-batan, kuala sungai, burung yang hinggap di ranting kayu dan jeram-jeram yang berliku. Pukul 10.10 pagi bot telah mendarat di tebing Kuala Jasin. Peserta meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki melalui denai yang dipenuhi dengan bekas tapak gajah dan najis gajah. Setelah berjalan selama 20 minit semua peserta selamat tiba di Chalet Kuala Jasin, tempat pertemuan antara Sungai Endau dengan Sungai Jasin.
Pelukis mula mencari lokasi yang sesuai untuk mula melakar dan melukis. Tumbuhan dan tempat pertemuan kedua-dua sungai itu menjadi fokus utama. Di sini terdapat banyak tumbuhan Phyllatus Watsonii yang tidak dapat ditemui di tempat lain. Ada yang mengambil kesempatan untuk mandi di Sungai Jasin yang jernih dan sejuk, jauh daripada pencemaran.. Beberapa karya lakaran dan catan telah dapat disiapkan oleh pelukis-pelukis di Kuala Jasin. Kumpulan yang berada di Kuala Jasin bertolak balik lebih awal ke Kampung Peta ia itu pada jam 4 petang kerana hari semakin mendung. Hujan mungkin akan turun sebentar lagi.
Sementara itu seramai tujuh orang pelukis dan jurugambar yang digelar sebagai Kumpulan Gajah (yang terdiri daripada orang-orang muda) telah bergerak ke Kuala Marung dengan bejalan kaki mengikuti denai dengan ditemani Abu, anak muda Kampung Peta sebagai jurupandu. Mereka telah dapat merakamkan keindahan Kuala Marung, Tasik Air Biru dan air terjun Upih Guling untuk di abadikan pada kanvas setelah kembali ke tempat masing-masing. Kumpulan orang muda ini balik semula ke Kuala Jasin pada pukul enam petang dan bermalam di Chalet Kuala Jasin.
Suasana pagi tenang dan dingin. Kicauan burung mula kedengaran. Hari keempat berada disini rasanya belum puas lagi menyusur denai dan mengharung sungai. Beberapa jam lagi semuanya terpaksa meninggalkan Taman Negara Endau Rompin Peta. Ramai peserta yang rasa berat untuk melangkah pergi. Selepas mengambil sarapan pagi kami mula mengemaskan barang masing-masing kerana hari ini merupakan hari terakhir di Taman Negara Endau Rompin Peta. Tengahari nanti semua peserta akan meninggalkan Kampung Peta untuk balik ke tempat masing-masing. Walau pun hari ini merupakan hari terakhir, beberapa orang pelukis masih lagi meneruskan melukis di sekitar kompleks.
Semua peserta dan urusetia mula bertolak balik ke Kahang pada pukul 1.00 tengahari dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda yang sedia menunggu. Setelah melalui jalan berbukit, berlubang dan berdebu, semua peserta dan urusetia ekspedisi tiba di Balai Polis Kahang pada pukul 2.45 petang. Pada pukul 3.00 petang semua peserta bertolak balik ke tempat masing-masing.
Setelah kembali ke tempat masing-masing semua peserta Ekspedisi Lakar Endau Rompin dengan menjadikan lakaran dan pengalaman yang diperolehi di hutan hujan tropika itu akan mengabadikannya dalam karya Seni Visual melalui pelbagai bentuk dan media, kemudiannya akan dipamerkan dalam satu pameran yang telah dirancang.
No comments:
Post a Comment