Taman Eko Rimba Ulu Bendul yang terletak di laluan jalan raya Seremban - Kuala Pilah menjadi pilihan utama bagi pencinta alam semulajadi untuk bersantai dihujung minggu sambil beriadah dan berehat sebagai terapi jiwa dan fizikal. Tempat ini juga yang kaya dengan khazanah alam menjadi lokasi yang sangat menarik kepada penggiat-penggiat seni visual untuk berkarya.
Pada tarikh 14 November 2021 Persatuan Pelukis Negeri Sembilan telah mengadakan program Plein Air Riverscape Ulu Bendul yang disertai oleh enam puluh lima orang pelukis dari seluruh negara yang berhimpun sehari suntuk di Ulu Bendul untuk melukis secara langsung objek-objek alam dan objek-objek buatan manusia yang dapat dijadikan hal benda dalam karya. Untuk mendapatkan maklumat berkaitan program sila KLIK DISINI.
Sejak awal pagi selepas taklimat daripada urusetia, pelukis-pelukis telah bergerak mencari lokasi menarik ditebingan sungai yang sesuai untuk dipacak easel. Mereka memilih sudut pandangan yang dapat menghasilkan komposisi yang artistik dan memberikan nilai estetik dengan memfokuskan kepada batu-batu sungai, flora dan fauna, air yang mengalir, binaan dan figura yang dapat disusun pada satah dengan garis dan warna bagi menyerlahkan ruang, bentuk dan rupa, harmoni dan kontra serta kepelbagian pada ruang kanvas. Pelbagai media digunakan mengikut kepakaran masing-masing seperti cat air, cat akrilik, cat minyak, pen, arang dan sebagainya.
Diakhir program pelukis-pelukis telah dapat menghasilkan lebih enam puluh karya yang dipamerkan di Dewan Eko Rimba Ulu Bendul.
No comments:
Post a Comment