Friday, 1 May 2020

PERAK MAN ART TRAIL: TASIK BANDING



Program eksplorasi lakar dalam siri Perak Man Art Trail yang dikendalikan oleh Persatuan Pelukis Perak (PPPk) telah memasuki fasa ke 2 setelah berjaya menyelesaikan fasa 1 yang telah berlangsung di Lembah Lenggong pada 16 hingga 18 Disember 2019 yang lalu (LIHAT SINI). Bagi fasa ke 2 ini PPPk  telah memilih Tasik Banding sebagai destinasi  untuk melaksanakan aktiviti eksplorasi lakar yang akan disertai oleh ahli-ahli dipenghujung tahun 2019.


Pulau Banding yang jaraknya 200 km dari Ipoh terletak  di daerah Hulu Perak boleh dikunjungi melalui jalan raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli di Kelantan. Dari sini merupakan pintu masuk ke Royal Belum melalui Tasik Banding dan Tasik Temenggor yang terhasil daripada pembinaan Empangan Hidro di Tememggor.


Untuk program fasa 2 ini tarikh pelaksanaannya telah ditetapkan  dengan menyediakan tentatif program yang  akan bermula pada 23 hingga 25 Disember 2019. Pesertanya terdiri daripada ahli PPPk dari Perak dan Kuala Lumpur yang akan menjayakan aktiviti sepanjang  tiga hari tiga malam di sekitar Banding.


Hari pertama 23 Disember 2019 sebahagian peserta telah tiba di Pulau Banding dan berkumpul di Resort Terapung Mat Shah tempat penginapan yang terletak dipesisir Tasik Temenggor untuk memulakan program eksplorasi lakar. Semasa saya tiba bersama Hirzuan Zulkiffli dan Sukeri Ibrahim didapati   Dato' Kamil Shafie, penasihat PPPk, Aris Aziz street artist Bukit Bintang, Raduan Norudin dari Istana Negara, Yusuf Baki, Dr. Kasran, Razid Karim, Saiful Azmi dan beberapa pelukis telah tiba lebih awal dan telah pun mula melakar di jeti resort.


Laluan masuk  ke penginapan
Resort Terapung Mat Shah, Tasik Banding

Melakar disekitar resort



Pada petang hari pertama aktiviti melakar dibuat disekitar kawasan penginapan dengan memilih sudut-sudut yang menarik sebagai hal benda. Beberapa orang pelukis menjadikan kawasan   boat house dan kawasan siar kaki resort sebagai ruang untuk berkarya.



Aktiviti hari pertama

Melakar di ruang atas boat house





Menyiapkan lakaran di ruang bawah boat house



Makan malam di restoran terapung yang disediakan oleh petugas-petugas Mat Shah dengan menu masakan ikan sebarau yang dibekalkan oleh orang asli tempatan beserta dengan ulam-ulaman yang menyelerakan. Selesai makan semuanya berkumpul di atas boat house untuk sesi taklimat yang disampaikan oleh  Hirzuan Zukliffli sebagai setiausaha dan juga perancang program. Perbincangan dan sembang seni diteruskan selepas itu dengan ditemani bayu lembut  yang bertiup dari Tasik Temenggor.


Ikan sebarau yang dibekalkan oleh
 orang asli Tasik Banding


Menu masakan ikan sebarau

Hari kedua, pagi 24 Disember  bot sudah sedia menunggu dijeti resort untuk membawa peserta membuat eksplorasi, merakam hal benda dan membuat lakaran disekitar Tasik Temenggor dan Tasik Banding yang merupakan pintu masuk ke Royal Belum. Selepas sarapan semua pelukis disertai oleh keluarga menaiki empat buah bot yang disewa khas bergerak menuju kedestinasi yang telah dirancang.


Boat house Tasik Banding


Diawal pagi: Bersedia untuk aktiviti hari kedua


Destinasi pertama yang akan dituju ialah perkampungan orang asli yang terletak dipesisir Tasik Banding/Tasik Temenggor. Selepas lebih kurang setengah jam perjalanan dengan bot kami tiba di Kampung Cuweh, sebuah perkampungan orang asli suku Jahai yang terletak diatas bukit di pinggir tasik.

Perjalanan ke kampung orang asli Kampung Cuweh

Tiba di Kampung Cuweh

Komuniti orang asli Kampung Cuweh


Bersama Aris Aziz di Kampung Cuweh





Selepas  satu jam berada di Kampung Cuweh kami bergerak menaiki bot kearah utara menyusur hutan simpan Royal Belum dengan merakam pelbagai tumbuhan yang mencecah gigi air. Destinasi seterusnya ke Sungai Gadung untuk melihat bunga Refflesia yang dikatakan bunga yang terbesar di dunia, saiznya ada yang selebar satu meter. Perjalanan laluan air dari Kampung Cuweh mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke Sungai Gadung dan perlu  memanjat bukit melalui lorong yang tersedia untuk memburu Refflesia yang tumbuh dipinggir tebing.


Jeti Sugai Gadung

Menjejak bunga Refflesia Sungai Gadung



Bila sampai kedestinasi didapati kami kurang bernasib baik kerana bunga Refflesia yang dikejar masih bersaiz kecil dan belum kembang. Difahamkan ia akan mengambil masa sehingga lima minggu lagi untuk berkembang sepenuhnya.


Bunga Refflesia yang belum kembang


Tidak jauh daripada kawasan bunga Reffledia tersebut terdapat sungai yang sesuai untuk membuat lakaran dan bermandi-manda yang boleh sampai kesana dengan menaiki bot melalui muara menyusur kehulu ketempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti. Inilah sebenarnya Sungai Gadung yang menjadi destinasi terakhir dalam program hari kedua di Tasik Banding.

Menyusur Sungai Gadung


Keluarga yang menyertai program mengambil peluang
 bermandi-manda di Sungai Gadung yang 
airnya  jernih dan sejuk




Hampir pukul 3.00 petang, setelah selesai tugasan melakar dan merakam foto di Sungai Gadung semua menaiki bot untuk balik ke penginapan di Resort Terapung Mat Shah dan mendapatkan sajian tengahari yang disediakan  di sana.

Waktu petang cuaca baik, pihak pengurusan resort menyediakan rakit yang diperbuat daripada buluh untuk aktiviti air  disekitar house boat. Beberapa  peserta yang tidak melukis dan ahli keluarga  mengambil peluang untuk membuat aktiviti berakit di Tasik Banding. Pada petang itu ada beberapa orang rakan yang telah pun bertolak balik ke tempat masing-masing kerana ada tugas lain yang perlu diselesaikan.

Pagi hari ketiga 25 Disember kami mengambil peluang untuk menyiapkan lakaran terakhir  "Perak Man Art Trail: Menyusur jejak yang hilang" disekitar resort sebelum mengemas barang untuk bertolak balik . Pukul 9.00 pagi semua peserta yang ada mula bertolak balik kedestinasi masing-masing dan selepas ini kami perlu menyiapkan karya untuk pameran Perak Man Art Trail di hotel Impiana, Ipoh dan bersedia pula untuk program fasa 3 yang akan di adakan di Kuala Kangsar pada 30 Januari hingga 1 Februari 2020.


Sebahagian peserta eksplorasi Perak Man Art Trail fasa 2
senbelum berangkat pulang