Monday 22 April 2013

MASALAH ALGA DI DALAM KOLAM IKAN HIASAN

Masalah yang sering dihadapi oleh peminat kolam ikan hiasan adalah alga yang menghijaukan air kolam. Tumbuhan ini akan lebih cepat membiak jika kolam terdedah kepada cahaya matahari. Masalah ini juga telah saya hadapi diperingkat awal selepas membina kolam ikan koi di halaman rumah yang terdedah kepada cahaya matahari. Setiap tiga empat hari saya terpaksa menukar air kolam. Saya memasukkan bahan penjernih air yang dibeli dari kedai akuarium, tapi hanya tahan beberapa hari sahaja. 

Akhirnya saya memasukkan beberapa tumbuhan akuatik yang ditanam di dalam pasu ke dalam kolam. Tidak beberapa lama selepas itu alga tidak lagi memenuhi kolam. Air menjadi semakin jernih. Mengikut saranan pakar-pakar ikan hiasan tumbuhan akuatik di dalam kolam juga membekalkan oksigen kepada ikan. 


Jadi untuk mengatasi masalah alga yang menghijaukan kolam bolehlah kita memasukkan tumbuhan akuatik seperti orkid air, purun bali, colok cina, kiambang dan keladi. Tumbuhan ini jangan dibiarkan terlalu rimbun dan perlu dipotong. Kiambang yang paling mudah membiak perlu selalu dibuang. Akar kiambang yang terapung dipermukaan air itu boleh menjadi makanan kepada ikan-ikan koi. 


Kita juga mungkin menghadapi air yang cepat kotor, tambahan lagi jika terlalu banyak ikan di dalam kolam. Ini boleh diatasi jika sistem penapis air berfungsi dengan baik yang menjadikan air kolam akan sentiasa jernih dan tidak perlu kerap ditukar. Saya sudah hampir lima tahun tidak menukar air. Kalau kelihatan kotor bersihkan filter sahaja, tidakberapa lama air akan jernih kembali.    





Orkid air


 Keladi


 Colok cina

 Kiambang




Tuesday 16 April 2013

2 JAM LUKIS SANTAI DI IPGM

Saya dijemput untuk mengelolakan satu bengkel cat air kepada pelajar elektif Pendidikan Seni Visual di Institut Pendidikan  Guru (IPGM) Kampus Ipoh (anak buah Razid Karim dan Razali Jaafar) pada 20 Mac 2013 yang lalu. Mengambil kira sebilangan besar peserta yang belum pernah didedahkan dengan teknik-teknik dalam catan cat air dan masa yang diperuntukkan hanya selama dua jam maka saya merancang untuk memberi pendedahan teknik yang paling asas. 


Saya membuat demonstrasi teknik basah atas basah dan glazing dengan hal benda bentuk asas seperti bulat, kiub dan selinder. Ini bagi memudahkan mereka mencuba dalam sesi "basah berus".  Jangkaan saya memang tepat. Pengalaman langsung adalah penting untuk memberi peluang mereka mengaplikasikan apa yang diajar. Sesi ini memberi pengalaman pertama mereka dalam catan cat air, walau pun ada yang menggunakan cat poster (mungkin menganggap semua pewarna berasas air adala cat air). 

Saya mencadangkan kepada  mereka untuk cuba menggunakan gandingan warna complimentary (warna penggenap). Ada yang menyambut saranan saya dan menggunakan gandingan warna biru dan jingga. Hasilnya memang menarik. Nampaknya ada yang selesa dengan media cat air pada kertas A3, walau pun yang lain hanya berani ada ukuran A4.

 Demo bentuk asas

 Sesi "basah berus"








KARYA-KARYA PERTAMA LUKIS SANTAI








Friday 5 April 2013

GABUNGAN TEKNIK DALAM AKTIVITI MENGGAMBAR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mengandungi empat bidang  yang perlu dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual iaitu menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. 

Bidang menggambar mengandungi beberapa teknik seperti lukisan, catan, kolaj, percikan, cetakan, gosokan, capan, tiupan dan stensilan. Di tahap dua sekolah rendah guru  boleh merancang aktiviti yang melibatkan gabungan dua atau tiga teknik dalam satu karya. Ini dapat mempertingkatkan imaginasi dan kereativiti murid melalui eksplorasi dan eksperimentasi media dan teknik.  

KARYA MENGGAMBAR DENGAN GABUNGAN TEKNIK



Mohd. Nazri Rozali, teknik gurisan, 
kolaj dan gosokan


Roslina Ahmad, teknik mozek, 
lukisan dan perckan


Rahimi Abd. Rahim Alyobi, teknik kolaj, 
percikan, lukisan, gosokan dan catan 


Noor Kalbee Hassan, teknik montaj, 
mozek, gosokan dan lukisan


Sharifah Hasni Syed Idris, teknik lukisan, 
kolaj dan capan


Lui Poh Ean, teknik montaj, 
resis dan catan


Faridah Kassim, teknik kolaj dan percikan


Rus Anita Mohd. Yunus, teknik 
gurisan, mozek dan kolaj


Salmirawati Che Embi, teknik catan,
kolaj dan montaj


Siti Zuyah Abd. Hamid, teknik 
montaj, percikan dan catan


Fazilah Shamsudin, teknik kolaj 
dan gosokan