Wednesday 29 June 2011

JOGJAKARTA KOTA SENI


Jogjakarta yang terletak di bahagian tengah Selatan Pulau Jawa juga dikenali sebagai Yogyakarta atau disebut Yogya dikalangan penduduk setempat mempunyai keluasan sekitar 3,185.80 km dengan penduduk seramai 3,452,390 orang. Jogja merupakan destinasi yang menjadi pilihan kedua bagi pelancong-pelancong yang  melawat Indonesia selain Bali. Mempunyai banyak perkara yang menarik di sini seperti Gunung Merapi, Chandi Borobudur, Keraton Hamengku Buono, Taman Sari dan pusat membei-belah di Jalan Malioboro.

Jogjakarta dilihat sebagai bandar yang  terkenal sebagai kota seni seperti Seni Rupa, Seni Persembahan, Seni Rakyat dan sebagainya. Di sini terdapat 30 buah muzium yang mepamerkan pelbagai artifak. Karya Seni Rupa boleh dilihat di mana saja, di jalanan, pada dinding bangunan, pada panel yang dipamerkan di persekitaran, graffiti dan arca di taman.




Arca mengguna pelbagai media
dalam proses penghasilan

Catan pada karung plastik sebagai bahan alas dipamer
di tepi laluan berhampiran Kraton Hamengku Buono

Arca relief pada dinding bangunan






Tuesday 14 June 2011

GETARAN JIWA SENIMAN



 Dua puluh enam anak muda meluahkan ekspresi, gelora rasa,  melalui sapuan warna dan  semburan aerosol menghempas idea ke ruang alas,  menyusun wajah dan gerak laku seniman agung. Getaran Jiwa Seniman mewarnai graffiti di ruang siar Balai Seni Lukis Negara pada hari itu, 29 Mei 2011, Hari Seniman.











Wednesday 8 June 2011

LEBUH SENI KUALA LUMPUR


Mesyuarat AJK GAPs di Restoran Warisan

 28 Mei 2011, di Kuala Lumpur naik LRT dengan Hamidon ke Mesyuarat AJK Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAPs) berlangsung di Restoran Warisan, berhampiran Dataran Merdeka. Betemu rakan-rakan  lama, Haji Yasin dari Melaka, Hj. Judin dari Kedah, Ismail Kadir dari Kelantan,  Rashid dari Pulau Pinang. Shaimy mempengerusikan mesyuarat, bincang perancangan Getaran Jiwa Seniman, Pameran di Melaka dan lain-lain.

Lebuh Seni Jalan Raja
Selesai mesyuarat berlegar di Jalan Raja, berlangsungnya Lebuh Seni anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Penggiat seni memperaga dan menjual hasil kerjatangan mereka. Bertemu  Mokhtar Ishak dan Hj. Mahmod Mat dari Kelantan sedang membuat demonstrasi  dan jualan karya catan cat air. Melukis dengan berada di lokasi dan meneliti  hal benda yang hendak dilukis menjadikan warna yang  disapu pada kertas menjadi lebih tepat, kata Mokhtar Ishak.
Hj. Yasin dengan karyanya

Demonstrasi melukis


Bersama Mokhtar Ishak
Di sini pengunjung dapat berintraksi dengan pelukis dan pandai tukang. Bual bicara terhenti bila acara di pentas di hujung gerai mula beraksi. Bunyi muzik bingit yang dimainkan oleh band di pentas mengganggu bualkata dan sembang tanya pengunjung di gerai pameran. Seharusnya muzik tidak terlalu kuat dan dapat lebih memberi keselesaan kepada audian, bukan menerjah ruang dengar dan kotak fikir.  Lebuh Seni bukan konsert terbuka.

Lebuh Seni suatu yang baik bagi penggiat seni dan khalayak yang berminat kepada karya seni seperti seni tampak, kraf dan lain-lain bidang seni. Penggiat seni berpeluang menjual hasil karya mereka dan pengunjung dapat membeli karya seni dengan harga yang lebih murah berbanding tempat lain seperti Pasar Seni  yang fungsinya sudah jauh berubah. Pasar Seni adalah pasar kain baju, tidak banyak lagi menjual barangan seni. Perlu lebih promosi melalui media.

 Beredar setelah berbincang dengan Shaimy, Hj. Yasin, Hamidon, Rashid, Raduan, Judin,  dan Dato’ Mahsun tentang pameran Melaka: Melakar Tamadun Bangsa. SD diminta menyediakan kertas kerja projek. Balik ke Ipoh nanti kertas kerja perlu disediakan dengan segera untuk 'di angkat' ke Melaka. Naik LRT balik ke Grand Central sementara menunggu program Getaran Jiwa Seniman.


Menunggu Shaimy menelefon minta email kertas kerja. 

Sunday 5 June 2011

MELAKAR SEJARAH ALAM

Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld mengambil sempena nama gabenor Inggeris Frederick Weld letaknya lebih kurang 15 km dari bandar Taiping. Port Weld merupakan pelabuhan yang berfungsi untuk menaik turun barangan dan bijih timah semasa zaman British memerinah Tanah Melayu. Lokasi dan bahan sejarah yang terdapat di sekitarnya menggerakkan Persatuan Pelukis dan Pencinta Seni Negeri Perak (PELUKIS Pk) untuk merancang satu ekspedisi untuk melakar khazanah hutan paya laut, perkampungan nelayan dan kehidupan penduduk sekitar. Pada awalnya Hamidon dan SD hanya merancang untuk mengadakan ‘outing’ di Kuala Sepetang bagi ahli sahaja, fb telah merubah perancangan ke skala lebih besar. Lalu jadilah program LAKAR SENI KUALA SEPETANG.

Pada 20 hingga 22 Mei impian telah terlaksana dengan program Lakar Seni Kuala Sepetang yang disertai oleh 20 pelukis yang terdiri daripada ahli PELUKIS Pk, pelukis SENIKA, Shaimy dan Hasnah wakil GAPs, SEHATI dan Siti Zainon Ismail serta Zaitun Ajmain dan Melor dari Kuala Lumpur.

20 Mei, petang itu Di Casa Persona ramai yang sudah tiba, kami duduk-duduk, sembang-sembang, rancang-rancang, menyusun hasrat untuk mengatur langkah. Petang itu, perjalanan ke Kuala Sepetang, singgah di rumah Pak Othman Hussain di Matang yang banyak menyingkap sejarah masa lalu, perjuangan untuk kemerdekaan. Berkenalan dengan kucing kesayangan Pak Othman bernama Sepuluh Setengah.

Hari semakin lewat petang ekspedisi diteruskan, tiba di Kuala Sepetang,  mengejar mentari yang hampir mencecah gigi air, imej yang bergerak dipermukaan air mengikut riak kocakan bot nelayan yang lalu. Mentari pun terbenam di ‘laut’ Kuala Sepetang.  Senja pun tiba, bergerak menyusur lorong pekan nelayan menjejak landasan keretapi pertama  Taiping – Port Weld. Namun yang ditemui hanyalah papan tanda ‘PORT WELD’ masih berdiri megah di suatu lorong, Ruang tiketnya telah dijadikan restoran. Entah sampai bila artifak itu akan terus berada di situ. Masa yang akan menentukannya.

21 Mei, hari kedua, meredah hutan paya laut di Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang, merakam dan melakar hidupan  pinggir sungai, hutan bakau dan kampong nelayan yang boleh dijadikan hal benda dalam karya. Perjalanan dengan bot dari Jeti Jabatan Perhutanan hingga ke muara di Kuala Sangga menyaksikan pohon-pohon bakau, ikan belacak, rumah nelayan dan kehidupan masyarakat pinggir sungai yang memberi kesan visual dan sumber inspirasi untuk di pindahkan pada kanvas.

Enak rasa mee udang di Gerai Mak Jah tengahari itu. Mengisi perut sebelum ke kilang arang. Melakar imej pekerja kilang arang yang memunggah bakau  berat dari bot. Kerja mengupas kulit bakau dengan upah tak seberapa memberi pangalaman empati dan rasa insaf dalam diri. Menyusur pula lorong sempit di kampong nelayan Sungai Batu, merakam bot nelayan yang berlabuh dan nelayan yang masih berada di jeti hingga lewat petang.

Chalet terapung di Kuala Sangga
Malam itu di Casa Persona, Salleh Ismail, Munif, Syed, Saparel dan beberapa pelukis lagi terus menyiapkan kerja hingga jam 2 pagi di pondok rehat. Ramai juga yang telah melelapkan mata. Pagi mesti bangun awal untuk ke Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang.

22 Mei, pagi itu, semua lakaran dipamerkan di Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang sementara menunggu Mesyuarat Agung PELUKIS Pk, pada jam 11 pagi. Ramai juga ahli yang baru tiba, Raja Shariman dan rakan-rakan. Ucapan penangguhan jam 1 tengahari.  Jamuan makan tengahari dengan kerang rebus, kari ikan terisi, ulam-ulaman dan sambal tempoyak menggamit semua supaya datang lagi.

Lakar Seni Kuala Sepetang telah memberi semangat dan inspirasi kepada pelukis  untuk merakam sejarah alam dengan pelbagai persepsi dan semoga dapat dipersembahkan kepada audian dalam suatu pameran nanti.




Lakaran Salleh Ismail

Munif: Pohon Bakau
Pameran
Roslaini

Dato' Mahsun: Belacak
Lakaran puisi Siti Zainon
Hamidon Ahmed
Raduan Norudin
Aminudin Sahaimie

Shaimy: Pemandu Bot



Salleh Ismail: Pak Othman












Saturday 4 June 2011

EKSPEDISI LAKAR ENDAU ROMPIN


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian  Negara Negeri Johor  dan Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAPs) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah menganjurkan satu ekspedisi ke hutan hujan Taman Negara Endau Rompin Peta yang dinamakan sebagai Ekspedisi Lakar Endau Rompin dengan memberi peluang kepada pelukis-pelukis untuk melakar warisan khazanah alam disini yang kemudiannya akan diikuti satu pameran yang akan berlangsung selepas ekspedisi.  



Penulis memulakan perjalanan dari Ipoh bersama Hamidon dan Amin pada jam satu pagi dengan menaiki kereta yang lebih memberi keselesaan dengan lalu lintas agak berkurangan di lebuh raya. Dalam kedinginan pagi kami meneruskan perjalanan menuju kedestinasi dan singgah di Hentian Senawang untuk solat subuh dan minum pagi di Kawasan Rehat Pagoh untuk bersarapan pagi. Tiba di Keluang pada jam 10.00 pagi lalu bertemu dengan Dato’ Mahsun dan Raduan yang sedia menunggu di Hotel Nagaria sejak hari semalam lagi.

Dari Keluang kami terus ke Balai Polis Kahang untuk menyertai rakan-rakan lain yang telah menunggu dari pagi. Pada jam 11.30 pagi sepuluh  kenderaan pacuan empat roda yang membawa peserta ekspedisi, beberapa orang krew ntv7, TV9 dan kakitangan Jabatan Kesihatan Mersing mula bergerak meninggalkan pekarangan Balai Polis Kahang menuju ke destinasi. 

 Perjalanan dari Balai Polis Kahang melalui jalan Mersing ke simpang untuk memasuki jalan ke Taman Negara Endau Rompin Peta sejauh 9 km mengambil masa lebih kurang 15 minit. Dari simpang tersebut kenderaan perlu melalui jalan yang tidak berturap sejauh 56 km yang mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke Kampung Peta.  Kenderaan dipandu laju dan berhati-hati oleh pemandu yang berkemahiran  dan memang biasa dengan keadaan jalan di sini. Jalan yang berdebu ini pada awalnya melalui ladang kelapa sawit yang luas saujana mata memandang. Sesekali kenderaan berselisih dengan lori yang membawa muatan kelapa sawit dan mengekuri lori-lori tanpa muatan yang memerlukan kemahiran dalam pemanduan. Keadaan ini menjadikan suasana jalan yang sangat berdebu dan penglihatan tidak jelas. Bagaimana pun pemandu  dapat mengendalikan perjalanan kenderaan dengan cekap dan berusaha untuk memotong lori-lori yang bergerak perlahan di hadapan walau pun jalan agak sempit.

Dalam perjalanan, kami membayangkan tumbuhan yang menghijau, air sungai yang sejuk dan jernih, batu batan yang mencecah gigi air, malam yang dingin, haiwan-haiwan liar yang mungkin ditemui dan penempatan Orang Asli yang mungkin dapat menjadi hal benda (subject matter) dan sumber idea untuk diabadikan pada kanvas.

Setelah melalui perjalanan yang sukar dan memang mencabar tetapi sangat menyeronokkan, semua peserta ekspedisi telah selamat tiba Rumah Pelawat Kampung Peta pada jam 1.30 tengahari dan  ditempatkan  di asrama Kompleks Pelawat sebelum memulakan aktiviti hari ini. Selesai makan tengahari kami membuat lakaran disekitar Kompleks Pelawat yang banyak terdapat hal benda yang boleh dijadikan sumber idea. .

Selepas makan malam kami berkumpul di Dewan Serbaguna, Kompleks Pelawat untuk diberi gambaran tentang Taman Negara Endau Rompin Peta oleh pihak Perbadanan Taman Negara Johor.  Pada malan itu kami telah dapat melelapkan mata buat pertama kalinya di hutan hujan tropika Endau Rompin Peta yang sunyi dan nyaman.

Suasana  dingin awal pagi di hutan hujan tropika, rata-rata pelukis yang malam tadi tidur nyenyak sekali telah mula bangun dan bersiap diri untuk memulakan ekspedisi dihari kedua. Makanan dan teh yang disediakan oleh urusetia  menjadi sarapan pagi kami pada pagi yang dingin itu. Perbincangan, celoteh dan sembang-sembang    meriuh-rendahkan ruang makan di Kompleks Pelawat. Segala pengalaman sebagai pelukis dikongsi bersama rakan-rakan yang datang dari seluruh pelusuk negara. 

Pukul 9.00 pagi kami mula bergerak dengan berjalan kaki untuk melawat dan membuat lakaran disekitar Kampung Peta yang perjalanannya mengambil masa 20 minit. Kampung Peta, kesemua penghuninya terdiri daripada orang asli suku Orang Hulu (Jakun)  terletak di pinggir Sungai Endau. Tiba di Kampung Peta kami mula membuat lakaran dan merakam objek menarik yang terdapat disekitar. Seorang wanita orang asli, Mak Cekek berumur sekitar 70an menjadi fokus utama pelukis dan jurufoto. Kebanyakan peserta menghalakan lensa kamera untuk merakamkan wajah yang unik itu untuk dijadikan sumber idea dalam karya. Tambahan lagi wanita tua itu bersedia memberikan pos yang menarik untuk dirakamkan.

Peta beberapa orang pelukis telah bergerak ke Pantai Burung yang mengambil masa 30 minit dengan berjalan kaki. Pantai Burung merupakan lokasi yang menarik untuk beristirehat dan bermandi Dari Kampung -manda. Pemandangan yang menarik di sini dapat memberi sumber idea kepada pelukis. Satu demi satu lakaran telah dapat disiapkan. Perut terasa lapar, matahari semakin meninggi.  Bila matahari berada di atas kepala, semua peserta yang berada di Pantai Burung mula bergerak mendaki bukit untuk ke Kompleks Pelawat.  Kenderaan pacuan 4 roda Jabatan Kebudayaan Negeri Johor membantu membawa peserta yang rata-ratanya sudah keletihan.

Selepas makan tengahari di Kompleks Pelawat, iaitu pada jam 2.30 petang kami bergerak ke Kampung Peta untuk menaiki bot yang akan membawa mereka ke Nature Education Research Centrre (NERC) yang terletak di sebelah hulu Sungai Endau. NERC ialah pusat penyelidikan yang mengandungi Dewan Pameran, asrama dan kemudahan-kemudahan lain. Perjalanan dengan bot ke NERC yang mengambil masa lebih kurang 45 minit telah melalui beberapa jeram yang memang banyak terdapat di Sungai Endau. Pukul 6.00 petang mula bertolak balik ke Kompleks Pelawat. Semua lakaran dikumpulkan dan dipamerkan di dalam Dewan Serbaguna.

Pukul 8.30 malam semua peserta telah berkumpul di Dewan Sebaguna, menunggu ketibaan YB Puan Asiah bt. Md. Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor untuk upacara perasmian. Ketibaan YB Pn. Asiah  telah disambut oleh Pengerusi dan AJK GAP’s dan dibawa melawat pameran. YB sangat kagum dengan hasil karya ‘sehari’ yang dipamerkan itu. Turut hadir dalam Majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan Negeri Johor, Pengarah Taman Negara Johor, Wakil Ketua Polis Daerah Mersing dan Penghulu Mersing. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Pn. Asiah  dan diikuti dengan bual bicara bersama YB Pn. Asiah dan Pengarah Taman Negara Johor.

Selepas mengambil sarapan pagi pada hari ketiga, semua peserta diminta berkumpul untuk memulakan perjalanan ke Kuala Jasin. En. Nazrul b. Mohd. Chulan, juru pandu menerangkan tentang keperluan yang perlu dibawa kerana sehari suntuk akan berada di Kuala Jasin. Kumpulan Gajah seramai tujuh orang membawa barang keperluan yang lebih banyak kerana mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Marung dan akan bermalam di Kuala Jasin.
Dari jeti Kampung Peta kami menaiki empat buah bot yang akan membawa mudik ke hulu melalui Sungai Endau ke Kuala Jasin. Jam 9.30 pagi bot mula bergerak dari jeti Kampung Peta menuju Kuala Jasin. Air Sungai Endau kelihatan lebih dalam dari hari semalam, arusnya lebih deras kerana hujan yang turun pada petang semalam. Pesisir Pantai Burung sudah tidak kelihatan lagi, dipenuhi air melimpah hingga ketebingnya.  Dalam perjalanan peserta dapat merakamkan pelbagai tumbuhan, banir, akar kayu yang mencecah gigi air, batu-batan, kuala sungai, burung yang hinggap di ranting kayu dan jeram-jeram yang berliku. Pukul 10.10 pagi bot telah mendarat di tebing Kuala Jasin. Peserta meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki melalui denai yang dipenuhi dengan bekas tapak gajah dan najis gajah. Setelah berjalan selama 20 minit semua peserta selamat tiba di Chalet Kuala Jasin, tempat pertemuan antara Sungai Endau dengan Sungai Jasin.

Pelukis mula mencari lokasi yang sesuai untuk mula melakar dan melukis. Tumbuhan dan tempat pertemuan kedua-dua sungai itu menjadi fokus utama. Di sini terdapat banyak tumbuhan Phyllatus Watsonii yang tidak dapat ditemui di tempat lain.  Ada yang mengambil kesempatan untuk mandi di Sungai Jasin yang jernih dan sejuk, jauh daripada pencemaran..  Beberapa karya lakaran dan catan telah dapat disiapkan oleh pelukis-pelukis di Kuala Jasin. Kumpulan yang berada di Kuala Jasin bertolak balik lebih awal ke Kampung Peta ia itu pada jam 4 petang kerana hari semakin mendung. Hujan mungkin akan turun sebentar lagi.
Sementara itu seramai tujuh orang pelukis dan jurugambar yang digelar sebagai Kumpulan Gajah (yang terdiri daripada orang-orang muda) telah bergerak ke Kuala Marung dengan bejalan kaki mengikuti denai dengan ditemani Abu, anak muda Kampung Peta sebagai jurupandu. Mereka telah dapat merakamkan keindahan Kuala Marung, Tasik Air Biru dan air terjun Upih Guling untuk di abadikan pada kanvas setelah kembali ke tempat masing-masing. Kumpulan orang muda ini balik semula ke Kuala Jasin pada pukul enam petang dan bermalam di Chalet Kuala Jasin.

Suasana pagi tenang dan dingin. Kicauan burung mula kedengaran. Hari keempat berada disini rasanya belum puas lagi menyusur denai dan mengharung sungai. Beberapa jam lagi semuanya terpaksa meninggalkan Taman Negara Endau Rompin Peta.  Ramai peserta yang rasa berat untuk melangkah pergi.  Selepas mengambil sarapan pagi kami mula mengemaskan barang masing-masing kerana hari ini merupakan hari terakhir di Taman Negara Endau Rompin Peta. Tengahari nanti semua peserta akan meninggalkan Kampung Peta untuk balik ke tempat masing-masing. Walau pun hari ini merupakan hari terakhir, beberapa orang pelukis masih lagi meneruskan melukis di sekitar kompleks.
Semua peserta dan urusetia mula bertolak balik ke Kahang pada pukul 1.00  tengahari dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda yang sedia menunggu. Setelah melalui jalan berbukit, berlubang dan berdebu, semua peserta dan urusetia ekspedisi tiba di Balai Polis Kahang pada pukul 2.45 petang. Pada pukul 3.00 petang semua peserta bertolak balik ke tempat masing-masing.

Setelah kembali ke tempat masing-masing semua peserta Ekspedisi Lakar Endau Rompin dengan menjadikan lakaran dan pengalaman yang diperolehi di hutan hujan tropika itu akan mengabadikannya dalam karya Seni Visual melalui pelbagai bentuk dan media, kemudiannya akan dipamerkan dalam satu pameran yang telah dirancang.